Monday, March 7, 2011

Kombinasi corak dan warna terang


PEREKA muda Amir Luqman Othman, 27, menyambut baik permintaan Stailo untuk berbicara tentang batik Malaysia. Meskipun sudah berkali-kali paparan media membincangkan topik itu, tetapi pereka yang mesra membahasakan dirinya Amir, tidak menolak apatah lagi mempamerkan riak kurang senang sepanjang sesi temu bual.

Bahkan, dia berkali-kali memohon supaya ulasan tentang batik Malaysia terus disiarkan bagi membangkit minat dan kesedaran masyarakat tempatan.

Saat diajukan soalan tentang persepsi sesetengah individu bahawa batik Malaysia tiada identiti dan seninya masih rendah, Amir memintas dengan nada yang tegas.

Di sebalik wajah kecewa dia bersuara: “Sila betulkan pandangan yang tidak masuk akal itu. Buka mata dan buka minda. Jangan memandang enteng dengan memperlekehkan fabrik warisan kita yang diwarisi secara turun-temurun.

“Batik Malaysia memiliki keunikan dan signatur tersendiri. Jika anda menyusun batik Malaysia bersebelahan batik Indonesia secara terang-terangan anda sudah dapat melihat perbezaan yang cukup ketara. Batik Malaysia hadir dalam mainan warna terang,” ujar Amir, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik.

Jelas Amir, begitu mudah untuk mengenal pasti batik Malaysia. Ini kerana pembuat batik dan pereka fesyen tempatan lebih cenderung menghasilkan koleksi batik Malaysia yang berasaskan nuansa terang dan ceria. Antaranya kombinasi hijau dan kuning, biru dan merah atau gabungan hitam dan merah jambu.

Pemilihan warna-warna terang tersebut secara tersirat mempamerkan refleksi sikap rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, peramah, ceria, berbilang kaum dan hidup dalam suasana harmoni.

Sementelah dari segi corak pula, batik Malaysia sinonim dengan corak abstrak, geometri dan motif flora yang pelbagai. Tidak seperti batik negara lain yang turut menyelitkan elemen gambar-gambar haiwan. Lagipun masyarakat Melayu dan Muslim khususnya dilarang menyarungkan pakaian yang tertera gambar haiwan.

“Batik Malaysia berwarna-warni tidak seperti batik Indonesia yang hadir dalam warna-warna tanah dan suram seperti warna coklat atau kuning kusam. Dari segi corak pula batik Indonesia lebih sarat dan dilukis rapat-rapat,” kata Amir yang mereka koleksi batik berkonsepkan ala percutian dan santai.

Tutur Amir, dia sengaja menghasilkan blaus, kaftan dan dres maxi berasaskan batik kerana ingin mengubah pandangan pengguna bahawa batik hanya terhad pada pakaian formal dan tradisional. Sedangkan ia juga boleh dihasilkan untuk dres labuh, dres tanpa lengan atau pario.

Endon ikon fesyen batik

Mengapa batik Malaysia masih kurang sokongan? Jawab pereka yang mempunyai butik di Plaza Damas Kuala Lumpur itu: “Salah satunya disebabkan isu harga. Pembeli mesti memahami proses membuat batik bukan mudah kerana ia melibatkan beberapa proses yang rumit. Pada masa yang sama, ia turut melibatkan teknik rekaan dan canting yang teliti.

“Tetapi jangan jadikan harga sebagai alasan kerana kini di pasaran sudahpun ditawarkan koleksi pakaian kasual dan santai yang diperbuat daripada batik cetak dan cop. Ia dijual pada harga yang berpatutan.”

Bagaimanapun akui Amir, senario batik hari ini ternyata lebih baik daripada sedekad lalu, terima kasih kepada bekas wanita pertama Malaysia, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang mengangkat kembali batik dalam industri fesyen menerusi Festival Batik Malaysia yang dianjurkan sejak tahun 2003.

“Bagi saya Allahyarham merupakan ikon batik Malaysia yang terbaik. Selain memartabatkan kembali zaman kegemilangan pemakaian kebaya Nyonya, Allahyarham memulakan langkah positif memperkenalkan batik Malaysia di mata dunia.


AMIR LUQMAN (belakang) di sisi model terkenal, Azura yang menggayakan rekaan batik kontemporari di Galeri Batik Seri Endon Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Tanpa inisiatif dan usaha Allahyarham, kemungkinan pasaran Malaysia pada hari ini dipenuhi dengan lambakan produk batik dari negara seberang,” kata Amir Luqman sambil memperbetulkan kaftan labuh rona hitam yang digayakan supermodel tempatan Tengku Azura Tengku Awang.

Menyoroti perkembangan industri batik Malaysia segala-galanya tercetus selepas Endon memberi nafas baru dan idea pada kepelbagaian fesyen berasaskan batik. Kelompok pereka tempatan dilihat semakin giat mereka dan menghasilkan busana batik keluaran jenama masing-masing.

Wanpa pikat remaja

Dalam pada, selain Amir Luqman, label Wanpa yang diterajui dua pereka jejaka, Rashid Omar dan Wan Mohd. Ridzuan Wan Ismail, antara pereka tempatan yang berusaha memartabatkan batik Malaysia. Matlamat mereka kini ingin menambat hati masyarakat terutamanya golongan remaja supaya meminati dan menyokong koleksi batik tempatan.

Enggan membiarkan himpunan batik dipandang sepi maka Wanpa melancarkan koleksi batik yang diberi nama Supernova Batik.

Menurut Rashid, 27, idea untuk menghasilkan koleksi Supernova Batik muncul daripada hasil pengamatan yang mereka lakukan.

“Kecewa melihat generasi muda dan moden pada hari ini yang kurang gemar menyarungkan pakaian berasaskan batik. Segelintir individu menyifatkan batik sekadar produk seni kraf dan hanya ideal dihasilkan pakaian tradisional seperti baju kurung atau kebaya.

“Padahal batik merupakan salah satu elemen fesyen yang cantik dan menawan untuk digayakan. Apatah lagi pengeluar produk batik dan pereka fesyen kini kreatif bereksperimen mengkomersialkan batik dalam bentuk busana gaun malam, koktel, blaus, kemeja ataupun skirt,” tutur Rashid yang turut memberitahu bahawa koleksi Supernova Batik Wanpa bukan sahaja untuk pasaran di Malaysia malah bercadang memperkenalkan ia di luar negara.

Berbicara selanjutnya mengenai koleksi Supernova Batik, label Wanpa yang pernah menghasilkan pakaian untuk selebriti Datuk Siti Nurhaliza, Irma Hasmie dan Scha, menampilkan seleksi busana yang hadir dalam corak abstrak.

Pemilihan corak berkenaan dirasakan sesuai dengan imej remaja yang gemarkan fesyen ringkas dan funky. Pada masa yang sama, corak abstrak sesuai dijadikan pilihan ke majlis formal, parti, minum petang ataupun dipakai sewaktu bersantai. Ini termasuklah memudahkan si pemakai memadankan busana batik corak abstrak bersama item fesyen yang hadir dalam konsep polos.

Menyentuh dari segi fabrik dan warna, Rashid yang merupakan graduan pengurusan perniagaan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), menjelaskan Supernova Batik banyak menggunakan fabrik kapas, satin, likra dan rayon. Seleksi fabrik batik berkenaan sesuai dengan cuaca di Malaysia.

Dari segi warna pula, Wanpa lebih cenderung pada campuran warna-warna terang seperti warna pelangi, biru muda, biru firus, merah dan jingga.

“Koleksi Supernova Batik Wanpa sesuai digayakan oleh wanita atau remaja yang berani berfesyen. Walaupun ini merupakan koleksi batik pertama keluaran Wanpa tetapi, kami berpuas hati dengan sambutan dan sokongan daripada pelanggan.

“Ubah persepsi pada pakaian batik. Ia sesuai digayakan oleh golongan jejaka dan wanita tanpa mengira usia. Asalkan, pengguna harus bijak memilih potongan, corak dan warna pakaian batik yang sepadan dengan usia anda,” jelas Rashid kepada Stailo.