Monday, March 7, 2011

Capal eksklusif kulit kambing


BILA tibanya musim cuti persekolahan, seperti biasa kad undangan pertunangan dan perkahwinan pasti akan bertebaran, lantaran ia tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis mengumpulkan sanak-saudara dan tetamu.

Bulan Mac ini juga menyaksikan ramai pasangan kekasih mengambil peluang menempuh gerbang bahagia sempena cuti persekolahan. Yang pasti, dalam persiapan itu pasti ada yang masih tercari-cari kelengkapan terbaik untuk menjadi raja sehari di singgahsana atau juga sebagai hantaran.

Jika anda mencari capal, songkok, samping atau telekung eksklusif dan berkualiti, DM Qiosk Enterprise di Dataran Glomac, Kelana Jaya, Selangor boleh menjadi destinasi pilihan anda.

Ditubuhkan oleh Datuk Mardina Alwi, sejak tiga bulan lalu, pesara kerajaan itu memberitahu butik tersebut diwujudkan sebagai kenangan atau inspirasi daripada ayahnya yang merupakan seorang pembuat songkok.

'Kecil-kecil dahulu selalu tolong ayah membuat songkok. Kerana itu dengan sedikit ilmu selain niat sebagai ibadah, saya membuka kedai ini sejak hujung tahun lalu,' katanya.

Ujar Mardina berbeza dengan songkok yang menggunakan fabrik biasa, songkok di DM Qiosk dihasilkan menggunakan fabrik baldu iaitu super satin royal. Fabrik tersebut menawarkan fabrik baldu yang berkualiti dan lebih lembut.

Harga untuk songkok tersebut adalah mengikut saiz ketinggian iaitu bermula dari RM98 hingga RM138. Selain songkok jenis itu, DM Qiosk tidak ketinggalan menawarkan songkok daripada baldu Kabul yang lebih murah pada harga dari RM25 hingga RM45.

Selain songkok, satu lagi produk eksklusif di DM Qiosk ialah capal. Dengan lambakan capal polivinil klorida (PVC), Mardina memilih capal yang dihasilkan daripada kulit lembu dan kulit kambing untuk memenuhi rak butiknya.

Jelas beliau, capal kulit lembu dan kulit kambing memang mendapat sambutan di DM Qiosk terutama untuk majlis pertunangan atau perkahwinan.

Berbeza daripada capal PVC yang keras, capal kulit lembu dan kulit kambing lebih lembut dan selesa sewaktu disarungkan. Tambahnya, capal kulit kambing lebih mahal kerana kualiti bahannya yang lebih lembut.